Kesahan Kandungan Kursus Bahasa Arab Dalam talian Untuk Pembelajaran Teradun
Keywords:
content validity; CVI; DDR; development phase; blended learningAbstract
Pembelajaran teradun iaitu; penggabungan pembelajaran bersemuka secara konvensional dengan pembelajaran menggunakan teknologi atau secara dalam talian telah menjadi salah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sangat popular pada masa kini. Kajian ini dengan mengikut pendekatan kajian reka bentuk dan pembangunan mengetengahkan proses kesahan kandungan dalam fasa pembangunan yang merupakan salah satu fasa dari empat fasa pendekatan kajian tersebut. Proses kesahan ini melibatkan enam orang panel yang dipilih dalam kalangan pakar dan pengajar untuk menilai kandungan dalam talian kursus pembelajaran teradun bahasa Arab yang dimuat naik ke platform Moodle dengan menggunakan indeks kesahan kandungan. Dapatan kajian yang berdasarkan indeks kesahan kandungan daripada domain-domain tertentu adalah menunjukkan kandungan dalam talian yang dibangunkan adalah diterima dan disahkan dengan beberapa cadangan penambahbaikan oleh panel. Setelah penambahbaikan dilakukan, platform boleh dibuka kepada pengguna sebenar dalam kalangan pelajar dan pengajar untuk fasa seterusnya, iaitu; fasa pelaksanaan dan penilaian. Melalui kajian ini, dapat difahami proses kesahan kandungan boleh dilakukan dengan pelbagai cara, dan antara alternatifnya, menggunakan indeks kesahan kandungan, selain daripada teknik-teknik lain yang lebih kompleks dan biasa digunakan seperti; Model Fuzzy-Delphi, Teknik Nominal Berkumpulan dan lain-lain. Diharapkan kajian ini menjadi rujukan dan alternatif kepada para pengkaji yang berminat untuk meneroka lebih lanjut berkenaan kaedah kesahan kandungan ini secara khusus dan kajian reka bentuk dan pembangunan secara umumnya.